End of Day Price

MBSB (1171)

MBSB Menjalinkan Usahasama Dengan Bernas

BackSep 04, 2009

KUCHING, 4 September 2009 – Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dengan usahasama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) telah menyampaikan sumbangan untuk masyarakat miskin di wilayah Sarawak di bawah program K-Penyayang.

Satu majlis penyerahan simbolik telah disampaikan oleh YBhg Tan Sri Abdul Halim Ali, Pengerusi MBSB dan YBhg En. Bakri Hamzah, Pengarah Urusan BERNAS kepada Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud di pejabat beliau.

Menurut En. Ahmad Zaini Othman, Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, program K-Penyayang usahasama MBSB dan juga BERNAS ini adalah merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat kedua-dua organisasi ini. MBSB sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan dan juga BERNAS, amat prihatin terhadap kebajikan masyarakat yang memerlukan bantuan.

Menurut beliau lagi, usahasama MBSB-Bernas ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara MBSB dan Bernas dengan masyarakat di negeri Sarawak.

En. Ahmad Zaini menjelaskan bahawa jumlah yang telah diperuntukkan oleh MBSB-Bernas untuk Program K-Penyayang ini adalah RM50,000 dari setiap syarikat yakni jumlah keseluruhannya adalah sebanyak RM100,000.

Sumbangan yang akan disampaikan kepada keluarga-keluarga miskin dan anak-anak yatim adalah dalam bentuk keperluan asas harian seperti beras, milo, gula, mee segera, biskut, susu dan minyak. Keperluan ini akan dijadikan bungkusan bernilai RM100 setiap satu dan bungkusan ini akan diagihkan mengikut keperluan keluarga miskin yang telah disenaraikan oleh pihak Baitulmal Sarawak dan juga anak-anak yatim yang terpilih. Dianggarkan seramai 2,000 orang beserta keluarga mereka akan menerima manfaat dari sumbangan ini.