Newsroom
Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Halim Ali, Pengerusi MBSB hari ini melancarkan Pusat Jualan dan Perkhidmatan terbarunya di Bintulu, Sarawak menjadikan keseluruhan 32 Pusat Jualan dan Perkhidmatan MBSB beroperasi di seluruh Malaysia.
Menurut Tan Sri Abdul Halim, pembukaan Pusat Jualan dan Perkhidmatan Bintulu ini adalah merupakan langkah strategik MBSB untuk memastikan masyarakat di Sarawak, khususnya Bintulu dan sekitarnya berpeluang mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dari MBSB.
Beliau menambah, "Pelancaran premis baru ini melambangkan komitmen MBSB untuk menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan dan memantapkan lagi kemampuannya untuk memenuhi kehendak pelanggan".
Pada majlis tersebut, Tan Sri Abdul Halim turut mengumumkan pencapaian tahun 2009 terutamanya Pembiayaan Peribadi yang telah mencatatkan peningkatan melebihi 200% berbanding dengan tahun sebelumnya. Beliau turut berkata MBSB mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi kepada RM80.315 juta bagi tahun kewangan yang berakhir Disember berbanding dengan RM54.043 juta pada 2008. Walaupun berhadapan dengan keadaan ekonomi yang agak lembab bermula akhir tahun 2008, MBSB mampu memperolehi keuntungan yang menggalakkan.
MBSB turut mengukuhkan kedudukannya dalam Perniagaan Korporat dengan memperkenalkan Program Usahasama Musharakah sejajar dengan hala tuju syarikat untuk meletakkan MBSB di pasaran kewangan Islam. Program Musharakah ini merupakan yang pertama di Malaysia, menawarkan usahasama di sektor pengurusan hartanah, pembiayaan kontrak dan pembiayaan aset terutama sekali kepada pemaju, pemilik hartanah dan kontraktor. Ini merupakan usaha MBSB bagi memartabatkan sistem kewangan Islam di Malaysia.
Selain dari itu, MBSB juga sentiasa inovatif dalam menawarkan produk-produk lain seperti Pembiayaan Peribadi, Pembiayaan Perumahan dan Produk Simpanan.