Newsroom
MBSB RASMI CAWANGAN BARU DI MUAR
Tan Sri Abdul Halim Ali, Pengerusi MBSB hari ini melancarkan cawangan terbaru MBSB di Muar, Johor menjadikan keseluruhan 28 cawangan beroperasi di seluruh Malaysia.
Perasmian MBSB cawangan Muar adalah sejajar dengan program perkembangan MBSB untuk membuka 10 cawangan baru tahun ini. MBSB telah membuka tiga cawangan pada suku pertama tahun 2008 di Taiping, Kangar dan Sandakan dan tujuh lagi dalam perancangan.
Menurut Tan Sri Abdul Halim, pembukaan cawangan baru ini membuktikan komitmen kumpulan untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan-pelanggan di Muar dan persekitarannya. Beliau menambah, "Pengurusan MBSB kini telah fokus terhadap sektor peruncitan sementara mengekalkan perniagaan utama kami dalam sektor pembiayaan perumahan. Ini sesuai dengan misi korporat MBSB untuk mempertingkatkan nilai pemegang sahamnya".
Semasa pelancaran, Tan Sri Halim juga mengumumkan untung selepas cukai sebelum audit sebanyak RM 53.218 juta pada suku tahun keempat sebelum 31 Disember 2007, iaitu peningkatan sebanyak 32.4% dibandingkan dengan tahun 2006.
Beliau juga berkata bahawa pertumbuhan pendapatan ini dijana oleh pertumbuhan operasi perbankan Islam yang menyaksikan perkembangan yang menggalakkan sebanyak 40% berbanding tahun 2006.
Beliau menambah, "Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), MBSB amat komited untuk mencapai headline KPI dan kami amat berbangga kerana telah berjaya melepasi kesemua tiga (3) KPI iaitu, Pulangan Pemegang Saham, Pertumbuhan Perolehan dan juga Pertumbuhan Peruncitan".
Sasaran KPI untuk segmen Pulangan Pemegang Saham adalah 7% tetapi pencapaian kumpulan adalah 10.55% dengan 3.55% varians positif. Manakala sasaran KPI untuk segmen Pertumbuhan Perolehan untuk tahun 2007 adalah 15% dan pencapaian sebanyak 22.44%, dengan varians positif 7.44%. Dalam segmen Pertumbuhan Pinjaman Peruncitan, KPI adalah 25% dan pencapaian kumpulan adalah 26.75%, dengan varians yang positif sebanyak 1.75%.
Selain daripada asas perniagaan dalam pembiayaan rumah, MBSB juga mengukuhkan kedudukannya dalam segmen Pembiayaan Peribadi dan Pinjaman Korporat yang menekankan pembangunan berskala kecil. Selain daripada itu, MBSB secara berterusan memperkenalkan produk bercirikan Islam yang baru dan juga menjalin usahasama strategic dengan syarikat lain.
MBSB turut melihat dengan serius terhadap inisiatif-inisiatif perubahan lain sejajar ketetapan terhadap semua organisasi berkaitan kerajaan. Beberapa inisiatif telah pun dilaksanakan untuk menjana perniagaan. Antara lain, MBSB memulakan usaha menyepadukan pembelian untuk pengurangan harga secara pukal dan membuat pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan daripada sumber-sumber lain bagi tujuan menjimatkan kos operasi dan pada masa yang sama MBSB turut memberikan perhatian yang serius terhadap kecekapan proses dalamannya.
Dikeluarkan oleh
Unit Komunikasi Korporat
MBSB
Tel: 03- 2099 3516/3537
Fax : 03-2095 4258
e-mail: rohanim@mbsb.com.my